Monday, June 24, 2013

DIARI Hospital saya




Tanggal 20.6.2012 merupakan tarikh yang tidak mungkin saya lupakan. Kisah mengenai pengalaman buat pertama kali menaiki ambulan ke hospital seterusnya menjadi pesakit tetap selama hampir 3 minggu  di Hospital xxx.

Jam  3.00 ptg (20.6.2012)

saya besama ibu menaiki ambulan dari klinik desa  ke Hospital  ditemani Medical Assistance(MA)  Klinik Desa yang selaku pemandu ketika itu. Kemudian kami diturunkan di Wad kecemasan, sambil menunggu giliran yang ditetapkan. Keadaan ketika itu memang agak sibuk. kawasan menunggu yang disediakan tidak dapat menampung jumlah manusia yang berada  di situ. Saya bersandarkan ibu hanya mampu bertahan, dengan badan yang lebih besar berbanding ibu tidak dapat saya nyatakan betapa ibu bertahan menampung agar saya tidak jatuh.Saat itu saya mengalami demam panas , dan pergerakkan saya agak terbatas disebabkan kesakitan dibahagian punggung. 

Agak lama kami menunggu di ruangan menunggu ,hampir 20 minit kami dipanggil. Disebabkan kesakitan yang dialami saya tidak sempat memberi apa-apa kenyataan dan hanya mampu rebah di katil dalam keaadaan tidak bermaya.Jurawat membuat pemeriksaan tekanan darah  dan suhu badan. Ibu tidak dibenarkan masuk. Hampir beberapa minit, saya dikejarkan ke bahagian X-ray dan kembali ke Wad kecemasan. 

Tidak lama, saya dihantar ke Wad Pembedahan di Wad 6. Saya ditukarkan dengan pakaian hospital serta diperiksa  oleh doktor yang bertugas. Kemudian sampel darah saya diambil, setelah berapa minit doktor yang mengambil sampel darah saya kembali untuk mengambil sekali lagi sampel darah. Ketika itu, saya lihat reaksi muka doktor agak kelam-kabut. Sempat untuk saya tanyakan, dan sekilas doktor tersebut menjawab “darah awak tidak stabil”. Hampir tiga kali doktor tersebut mengulangi ujian darah akhirnya saya dikhabarkan bahawa  berkemungkinan darah saya dicemari kuman. Alangkah terkejutnya saya ketika itu. Ketika ini saya tidak dibenarkan menjamah apa-apa makanan mahupun minuman. keadaan saya ketika ini sangat tidak bermaya,diberitahu bahawa  tekanan darah saya ketika ini sangat tinggi berserta suhu badan yang agak panas.

 Saya dikerumuni ramai doktor, tidak pasti apa yang ingin dilakukan. Saya hampir tidak sedarkan diri. Dalam keadaan ini, saya tidak mampu bersuara,hanya mampu memandang dengan pandangan layu tak bermaya. Sempat rasanya saya melihat wajah ibu ayah serta adik . Saya dimasuki air dan pelbagai wayar yang berselirat di tangan saya tanpa saya mengetahui fungsinya. Apa yang dimaklumkan saya sepatutnya dibedah pada malam itu juga. Tapi dengan keadaan saya yang tidak stabil pembedahan tidakdapat dilaksanakan.


Jam 2.30 pagi (21.6.2012)

Saya dipindahkan dari wad 6 ke wad 15 (HDU). Tidak saya ketahui wad 15 merujuk kepada bahagian apa. Yang pasti Ibu saya tidak dapat menemani saya, dan terpaksa pulang ke rumah saudara yang terdekat. 

Jam 8.30 pagi (21.6.2012)

Saya diberikan suntikan bius serta ubat bius berbentuk penadol. Saya sempat mendengar, kiranya saya akan dibedah lewat 9.30 pagi ini. Saya dihantar ke bilik pembedahan ,sambil menunggu ketibaan kedua orang tua saya untuk mendapatkan tandatangan penjaga, ketika ini umur saya masih belum genap 21 tahun. Terkejar-kejar ibubapa saya menaiki lift untuk sampai ke bilik pembedahan. Syukur alhamdulilah  mereka sampai dengan selamat , dan semua berjalan lancar. Selepas saya di tinggalkan di bilik bedah saya dikenalkan dengan seorang  doktor bius yang memberi sedikit keterangan dan kemudian saya terus lelap, tidak sedarkan diri. 

Jam 11.00 pagi (22.6.2012)

Bila saya bukakan mata saya hanya mampu melihat kanan dan kiri saya dipenuhi pelbagai wayar dan mesin. Saya kini berada di Wad ICU, yang ada hanya jururawat yang ditugaskan untuk memerhati saya selama 24 jam. Tiba waktu untuk dressing saya menjerit sekuat-kuat hati tidak mampu menanggung kesakitan walaupun saya diberi ubat morfin berbentuk cercair yang disalurkan ke tulang belakang . Namun kesakitan yang saya rasai tidak mampu untuk dibendung. Makan dan minum disediakan mengikut kesesuai pesakit. Saya diberi  makanan berbentuk soft iaitu bubur dan lembut. Namum , saya hanya mampu menjamah sedikit kerana kesakitan yang saya alami di bahagian punggung akibat pembedahan . Di ICU saya hanya mampu melihat tanpa dapat melakukan sebarang pergerakan . 

Jam 12.50 tengahari (23.6.2012)

Saya dipindahkan ke Wad 6, Wad pembedahan. Selama disini saya dibekalkan  ubatan morphin seperti di ICU serta pelbagai ubatan lain. DI sini saya ditemani secara bergilir-gilir oleh keluarga. Selama 2 hari disini keadaan saya semakin teruk , suhu badan saya naik dan kesakitan yang saya alami agak mengkhuatirkan para doktor. Kemudian , doktor memberi pandangan serta  penerangan dan penjelasan untuk membuat pembedahan kedua untuk menbuat colostomy pada badan saya kerana keadaan saya semakin lemah kerana kekurangan tenaga , dan kesakitan di bahagian punggung terganggu dengan kitaran dalaman manusia. Dalam keadaan keterpaksaan saya memberi persertujuaan kerana tidak sanggup untuk menanggung rasa sakit. 

Jam 12.28 tengahari (25.6.2012)

Saya dibekalkan bius hingga ke dewan bedah. Saya mampu melihat dewan bedah yang luas , di depan mata saya terhias lampu bedah dan pelbagai peralatan. Berdebar rasa hati, rasa takut menguasai diri. Jururawat yang bertugas membuat kerja seperti kebiasaan hanya saya yang terdiam kaku ditengah menanti kehadiran doctor. Saya diberikan suntikan bius oleh doctor yang bertugas, dalam sekelip mata nama yang dipanggil semakin hilang dan segalanya hilang dari pandangan.

Jam 7.00 ptg (25.06.2012)

Kini saya kembali ke wad 6, keadaan yang saya rasakan ketika ini lebih sakit daripada sebelum. Kini bertambah dengan luka yang baru dibedah di perut. Memaksa saya untuk tidak melakukan sebarang pergerakkan kerana sakit. Ketika ini saya hanya mampu sedar untuk seketika kemudian kembali  lelap . Ibu yang menemani saya tatkala berkata kerja saya tidur sahaja. Tapi itu sahaja yang mampu saya lakukan , andai saya tersedar saya akan meraung kesakitan .  

Jam seterusnya sehingga  6.00 ptg 06.07.2012

Rutin  seperti biasa, seawal 5.00 pagi dimandikan oleh ibu. Atau di hospital para jururawat memanggil panji-panji. Kemudian  kami diberikan sarapan. Menunggu untuk pemeriksaan doktor pakar. Kemudian dressing , hingga ke tengahari menunggu turn, kekadang hingga ke pemeriksaan petang dressing tak settle lagi. Penat menunggu. Lepas dressing baru lelap tidur. Kekadangan sementara nak tunggu dressing , saya tidur. Sebab time dressing saya akan meraung sekuat hati. Masa ni satu pergerakkan pon tak mampu saya buat. Untuk duduk  saya di angkat oleh 2 orang doktor lelaki. Baru dapat duduk . lepas tu rebah balik. Untuk hari-hari berikutnya saya semakin pulih.

Ubatan 

Masa ni macam-macam ubat saya minum contohnya, Air Mizan (sekarang Biosunnah), ikan haruan (asli punya) masak kunyit, pati ikan haruan (pahit ) , batu landak( beli yang murah punya), makan BioLife(rasa macam dedak) tapi ubat kan telan je lah. Itu ubat yang parent beli, ni ubat doktor lagi. Ada Antibiotik , ubat tahan sakit(macam-macam jenis ada) dan macam-macam lagi. 

Ramai kawan.

Tak terkira ramainya kawan masa ni, tak kira tua, muda, india, cina, cikgu, peguam, doktor dan jururawat semestinya. Boleh jadi best friend. Saya berkenalan dengan seorang mak cik, duduk di sebelah kanan saya. Mengalami paru-paru berair, daripada bentuk fizikal kelihatan perutnya seperti mengembung sarat dengan air. Sebelah kiri saya seorang warga cina, untie.. mengalami bisul. Untie selalu bising tapi saya suka ayatnya “ u mau saya mati ka?? Ayyoh , sakit wooo” ... heheheh. Kemudian hari berganti-hari, jiran pun berganti, dihadapan saya ada india, untie..mengalami tulang reput. Masa saya awal jumpa dia, masih boleh gelak ketawa. Tetapi hanya 1 minggu lebih kemudian dia sudah tiada di alam fana ini. Saya digantikan dengan jiran baru, mengalami 5 dalam 1 iaitu  darah tinggi, kencing manis, paru-paru dan selebihnya saya tak pasti. Selama saya di hospital, mak cik ni lebih lama di hospital Cuma berpindah randah wad sahaja.
 Kemudian saya berkenalan dengan pesakit kanser usus, membuat colostomy seperti saya tetapi bezanya , mak cik ni guna untuk sepanjang hayatnya. Ada orang yang kurang bernasib baik daripada saya. Syukur saya masih hidup dimuka bumi ini. Ada ramai doktor, seharusnya saya ingin mengucapkan beribu terima kasih kepada mereka kerana sudi merawat saya. Dan tidak saya lupa kepada Doktor-doktor yang memberi sokongan dan semangat untuk saya terus berusaha dan percaya untuk sembuh.  Juga para jururawat yang turut merawat saya .

Saya menggunakan beg colostomy ini dalam masa hampir 3 bulan lebih. 
Inilah beg colostomy, beg ini agak mahal tapi lebih selesa kerana lebih ketat dan tidak membimbangkan .





Beg ini agak murah, dan pelekat yang digunakan tidak berapa bagus. namun masih boleh digunakan 


Beberapa bulan kemudian ,

Kemudian pada 27.9 saya diarahkan untuk admit ke wad 5 untuk menjalani pembedahan penutupan colostomy. Namun ditunda setelah saya diberikan bius dan ubatan sebagai persediaan  pada 2.10.2012. 

2.10.2012( 11.00 Tengahari)

Saya dibawa ke bilik pembedahan setelah diberikan pil bius . saya tidak sedarkan diri. Saya sedar pada saat jam 9.00 mlm . saya telah dibawa ke wad 5 .saya tidak mampu untuk bergerak mahupun untuk bangun pergi ke tandas seperti sebelumnya. Saya disorong menggunakan kerusi roda untuk beberapa hari. Selama seminggu saya dirawat di wad 5.

Kawan baru :
Saya berkenalan dengan seorang kakak yang mengalami ketumbuhan didalam perut . Kakak ni dah 2 bulan menetap kat hospital, saat saya admit masuk pada 27.9 saya sudah pernah bersembang dengannya, malahan saya dah cop awal-awal lagi untuk duduk sebelah menyebelah katil pada kemasukkan saya ke dalam wad pada 2.10.2012. Kami berborak seperti kawan baik, seperti saudara kemana kami pergi bersama, makan bersama, keluarga kami pon sembang bersama . Doktor dan jururawat pun menyedari keakraban kami. Selepas saya dibedah, akak lah yang mengurus saya berikutan ibu dan ayah tidak mampu berulang alik ke hospital. Kami berhubung hingga sekarang. Saya turut berkenalan dengan seorang India , pesakit sebaya saya, ibunya kami gelar untie. Selalu berborak , bergurau senda. Semasa deepavali , kami dijemput untuk hadir ke rumahnya. Kami berhubung hingga itu.

Kata-kata akhiran...
Alhamdulilah, bersyukur ke hadrat iilahi saya masih mampu bernafas pada hari ini dan mampu menjalani hidup saya seperti biasa. Terima kasih yang tidak terhingga kepada rakan-rakan serta saudara mara yang dating menjenguk diri ini serta mendoakan kesembuhan diri ini. Segala usaha dan bantuan yang saudara hulurkan amat saya hargai. Kiranya tidak terlambat untuk saya mengucapkan terima kasih serta menghulurkan tangan memohon kemaafan andai sepanjang kita berkenalan ada keterlanjuran kata, ada ketidakpuashatian, kesalahfahaman, keterlanjuran yang tidak disengajakan dan sengaja mohon maaf. Saya tidak hanya mahu memohon maaf kiranya dihari raya sahaja , kerana kita hidup hari demi hari yang semalam telah berlaku , dan luka di hati belum tentu terubat. Pasti ajal maut belum kita pastikan. Oleh itu, ingin saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf kira nya ada yang tersinggung dengan diri ini, mohon halalkan makan minum , halalkan ilmu yang penah diberi dan mohon  halalkan segala yang pernah terpakai atau termakan  dari hujung rambut hingga hujung kaki.terutama buat ibu ayah serta adik dan kakak, saya mohon halalkan makan minum serta maafkan segala keterlanjuran dalam berbahasa, dalam perbuatan moga hari esok lebih baik drai hari semalam .  0-o

No comments:

Post a Comment